Archive forJanuary, 2009

Umno Perlu Tukar Rasuah Menjadi Babi

ORLA - ‘orang lama’ Umno Tengku Ahmad Ritahuddeen Tengku Ismail barang kali sudah pening kepala dan tidak tahu apa yang perlu difikirkan lagi untuk membenteras rasuah dalam partinya. Kerana usaha dilakukan kini mungkin tidak membawa kejayaan menyebabkan beliau semalam mencadangkan supaya sayap Umno, Puteri dan Putera dibubarkan. Malahan kalau perlu katanya Pemuda Umno juga perlu dibubarkan.

Semuanya kerana rasuah. Bekas Naib Presiden Umno itu membuat cadangan itu sebagai ikhtiar (terakhir) untuk menyelamatkan Umno. Beliau menyedari bahawa parti Umno semakin sakit, sakit dan sakit dan tidak ada harapan untuk sembuh dari penyakit gila rasuah.

Rasuah sudah berleluasa dan bermaharajalela dalam Umno Baru.

Alasan orla itu, rasuah berlaku disebabkan adanya pertandingan. Dengan adanya sayap Puteri dan Putera menyebabkan wujud pertandingan baru dan ia membuka satu lagi ruang berlakunya rasuah. Katanya beliau ada dengar rasuah dalam Puteri, tetapi tidak ada orang yang ingin melaporkannya.

Petua orla itu nampak tidak disetujui oleh beberapa pemimpin Umno lain termasuk yang spara orla. Kata calon Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin cadangan itu tidak munasabah kerana kalau sayap itu dibubarkan dimana nak letakkan pemimpin pelapis Umno!

Ketua Wanita Umno yang akan ditentang, Rafidah Aziz pula berkata tindakan itu seolah-olah membakar kelambu. Katanya hanya segelintir saja ahli Umno terlibat dengan rasuah mengapa soal politik wang dikaitkan dengan sayap parti itu sedangkan yang melakukanya bukan kalangan ahli sayap itu tetapi para induknya.

Manakala seorang pemimpin puteri Naib Ketua Puteri, Rosnah Abdul Majid menyifatkan cadangan itu tidak rasional dan pembubaran sayap parti itu seolah-olah cuba menjauhkan golongan muda dengan politik.

Muhyiddin, Rafidah dan Rosnah menentang cadangan Tengku Rithauddeen itu dan menolak dakwaan Tengku Ritahuddeen yang beranggapan rasuah sudah parah dalam Umno.

Jelas perbezaan pandangan dan pendekatan mengenai masalah rausah dalam Umno. Bagi orla melihat ianya sudah parah, kerana mengukurnya dengan suasana dan pendekatan Umno lama.

Bagaimana pun keadaan yang kusut masai hari ini masih dapat dimaafi oleh golongan baru. Muhyiddin, Rafidah dan Rosnah melihatnya ianya (rasuah) perkara biasa kerana ia adalah amalan dan budaya sihat di zaman ini yang mana mungkin mereka juga adalah pengamalnya.

Pertentangan ini menjelaskan konflit mengenai penghapusan rasuah dalam Umno. Bagi mereka yang melihat rasuah masih belum parah ialah mereka yang mengamalkan rasuah dan naik menduduki jawatan hari ini dengan rasuah. Bila mereka sudah terbiasa dengan rasuah menyebabkan ia tidak dilihat sebagai jijik dan berdosa lagi.

Adapun kenapa Tengku Rithauddeen sampai tergamak membuat cadangan itu kerana beliau melihat rasuah bakal meruntuhkan institusi Umno. Kita percaya Tengk Ritahuddeen membuat cadangan itu berdasarkan kepada fakta-fakta dan sumber yang beliau perolehi.

Sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno yang bertanggungjawab menyelesaikan aduan mengenai salah laku ahli terkhusus rasuah, Tengku Ritahuddeen mendapat maklumat yang banyak dan tepat. Kita percaya masih banyak aduan yang diterima tetapi disembunyikan kerana untuk menjaga maruah Umno.

Pun begitu cadangan itu mungkin tidak begitu sesuai dan agak melampau. Tidak semestinya bila sayap Umno itu dibubarkan rasuah akan berkurangan. Seperti mana yang saya katakan sebelum ini rasuah sudah menjadi darah daging dan sebahagian idealisme parti Umno. Ia sudah membudaya dan mengakar umbi. Kerana itu ia tidak mungkin dihapuskan lagi kerana penghapusannya menyebabkan dengan Umno itu sendiri akan lenyap.

Rasuah sudah menjadi kepercayaan ahli Umno, di mana jika tidak hulurkan wang mereka akan gagal untuk mendapat tempat - jawatan. Syaksiah dan kredibiliti seseroang tidak menjamin ia dipilih sebagai pemimpin kalau ‘kupit’ untuk hulur wang. Kerana ia sebuah kepercayaan maka ia disembah dan diagungkan oleh para penyembahnya seperti mana penganut fahamam anamisme menyembah pokok besar atau busut yang dianggap keramat. Keramat dalam Umno ialah kerana rasuah.

Realifnya masalah rasuah akan selesai sekiranya ahlinya tidak menerima dan memberi rasuah. Di sini apa yang Umno harus lakukan ialah mendidik ahli-ahlinya agar membenci rasuah sungguh-sungguh. Jadikan rasuah itu macam babi yang dibenci oleh orang Melayu. Orang Melayu bila tengok babi semua benci dan geli gentleman dan sampai termuntah. Maka Umno kena cari pakar yang boleh menukar rasuah menjadi seperti babi.

Selagi rasuah tidak dibenci seperti orang Melayu membenci babi, maka selama itulah ia hidup dan bertamdun dalam Umno. Jadi kepada Tengku Ahmad Ritahauddeen daripada menyarankan agar sayap Umno dibubarkan bila beliau merantau jauh mencari pakar atau belajar formula bergaimana menukar rasuah menjadi babi. Dan kalau beliau gagal melakukan ini cadangan paling afdal dirasakan perlu dibuat oleh Tengku Ahmad Ritahuddeen selepas ini ialah mencadangkan agar Umno dibubarkan.

Comments

BUBAR SAYAP : LAIN YANG SAKIT, LAIN YANG DIRAWAT..

  1. Pembubaran sayap parti bukan jalan penyelesaian kepada masalah politik wang. Lain yang sakit lain yang dirawat. Jika yang mendatangkan masalah itu adalah penghuni sebuah rumah, kenapa pula struktur binaan rumah yang mesti diubahsuai?
  2. Sepatutnya dalam mengekang amalan politik wang, penumpuan harus diberi kepada perlakuan rasuah dan bukan kepada struktur binaan organisasi. Ia tidak kena mengena langsung.
  3. UMNO diakui sedang berada pada tahap yang lemah, tetapi di sebahagian besar hayatnya, UMNO berada pada kedudukan yang kuat. Itulah struktur binaan organisasi yang telah diguna pakai sama ada UMNO berada dalam keadaan kuat atau pun lemah.
  4. Di sini jelas membayangkan kepada kita bahawa cadangan untuk memansuhkan sayap-sayap parti bukanlah jalan penyelesaian terhadap gejala politik wang.
  5. Adakah ratusan laporan politik wang yang telah sampai ke tangan Tengku Ahmad Rithaudeen hanya melibatkan ahli sayap parti semata, hingga mendorong beliau membuat cadangan pembubaran sayap-sayap parti?
  6. Pada hakikatnya, melalui cadangan ini, jelas beliau telah mengakui wujudnya perlakuan politik wang yang serious di dalam parti, tetapi sehingga kini, kenapa yang baru dijatuhkan bersalah tidak menjangkau pun 5% dari keseluruhan lapuran yang diterima? Secara logiknya tidak mungkin 95% baki laporan itu adalah palsu.
  7. Lembaga disiplin parti tidak harus berdolak dalih dalam mencari penyelesaian terhadap masalah politik wang dengan cara melontarkan cadangan-cadangan pelik yang tidak masuk akal. Ia hanya akan menambah kekeliruan dan rasa kurang yakin ahli terhadap kemampuan Lembaga Disiplin dalam menghadapi kemelut ini.
  8. Jika ke dua-duanya, parti dan lembaga Disiplin parti sudah tidak diyakini kemampuannya oleh ahli dan akar umbi, kepada siapa lagi kepercayaan dan keyakinan harus diberikan?
  9. Oleh itu Lembaga Disiplin parti harus benar-benar berani menyelesaikan masalah politik wang berdasarkan realiti yang ada jika benar-benar ikhlas untuk membantu UMNO bangkit semula, walau pun tindakan itu akan dianggap radikal.
  10. Janganlah kerana perut sakit lantas terus mengambil jalan pintas dengan cadangan supaya diharamkan makan dan minum. Ia tidak masuk akal. Berilah tumpuan supaya dicari punca penyakit dan rawatlah dengan cara yang sepatutnya.
  11. Kita berharap agar Lembaga Disiplin terhindar dari perlakuan sindrom penafian dengan cara mengalih isu dan masalah pokok yang harus mereka tangani.

Comments